Friday, May 25, 2012

akidahmu berharga RM10?

entri ini di kopi tea dari blog http://www.sangpelangi.com . silalah berkunjung ke sana, kau kan temui banyak mutiara berguna.. -"kukagumi beliau, seorang pemuda yang punya visi misi hidup yang sangat tinggi.."
********************
Bas masih terus hidup, bergetar setempat seiring deruman enjin. Sudah hampir satu jam, ia masih belum bergerak dari terminal. Beginilah senario bas di tanah airku. Kononnya dari kaunter terjerit-jerit, “KL sekarang! KL sekarang!” Sedangkan bas baru tiba dan kau perlu tunggu hingga kesemua tempat duduk dipenuhkan.
Aku dapat tempat duduk berkembar pada barisan kedua dari belakang. Tiada berteman. Mujur ada sahabat setiaku, encik buku bernama ‘Cinta di Rumah Hassan al-Banna’, biarpun entah berapa kali aku mengkhatamnya. Saiz kompak, isi yang padat, beri kelebihan buat sang pengembara sepertiku.
Sekonyong-konyong, muncul seorang lelaki berjambang masuk ke dalam. Dari jauh di pintu depan, boleh kuagak dia ini dari Pakistan jika dinilai dari pakaian jubah tradisionalnya. Keningnya berkerut, mulutnya memunjung. Jelas, di wajahnya penuh kecamuk. Lelaki itu terus berjalan ke barisan belakang sekali dan duduk di kerusi tunggal.
Selang beberapa saat, masuk seorang jejaka dengan beg kantung di sisinya sentiasa. Pastinya dia ini pengutip wang tiket dari caranya berjalan laju dan tangannya yang menggendong buku tiket. Dia berjalan ke arah lelaki Pakistan tadi dan meminta ongkos tiket yang diperlukan. Tidak semena-mena Lelaki Tiket itu bersuara,
Aik? Mana lagi 10 ringgit? Tak cukup…
Suara Lelaki Tiket makin meninggi, amat tidak menyenangkan. Lelaki Pakistan lembut menjawab,
Tadi saya tanya awak di kaunter, 22 ringgit – KL, boleh? Awak kata boleh?
Lagak Lelaki Tiket makin membakar. Matanya mula kemerah-merahan. Dengan jari telunjuk yang menggigil-gigil, ditudingnya pada bahu lelaki Pakistan itu.
Mana ada pergi KL tiket 22 ringgit? Tanya mana-mana kaunter pun, semua letak 30 ringgit. Harga tiket bas ini 32 ringgit. Ah, bagi sini 10 ringgit.
- Saya tak cukup duit ringgit. Kena tukar di money changer. Saya bayar di KL boleh?


Lelaki Pakistan masih merayu dengan lembutnya. Simpati dan kasihan yang bertimpa-timpa dihidangkan pada wajahnya. Tulus. Lelaki Tiket pula makin tidak senang duduk dengan telatah lelaki Pakistan. Kini, suaranya sudah mencapai tona jeritan.
Ah, jangan nak menipu. Aku tahu kau ada duit. Kau Islam, bukan? Tahu tidak menipu itu berdosa?
Kali ini, lelaki Pakistan cuba mempertahankan dirinya.
Siapa tipu siapa? Saya sudah tanya awal-awal, tapi awak tak cerita harga 32 ringgit?
Lelaki Tiket melepaskan beg kantung dari bahunya dan meletakkan di sebelah kerusi yang kosong. Dirapatkan tubuhnya pada lelaki Pakistan.
Hello, Bangla. Aku dah banyak jumpa orang macam kau. Pura-pura tak ada duit, ya?
BUKK!!
Sebuah penumbuk hinggap ke perut lelaki Pakistan. Terbongkok-bongkok lelaki Pakistan itu menahan perit, pada masa yang sama, masih merayu dan terus merayu,
Jangan macam ini, kawan. Saya sini empat bulan baru datang. Jangan buat ini macam, kawan.
Lelaki Tiket mengangkat lagi tangan kanannya. Satu lagi penumbuk bakal dilayangkan sebentar lagi.
Sebelum sempat ia dilepaskan, sepantas kilat aku menggenggam buku limanya. Tertahan. Seluruh penghuni bas sedari tadi tetap kaku. Mereka beku memerhatikan kami bertiga. Dalam waktu itu, perlahan aku menyelitkan not merah ke dalam genggaman penumbuk Lelaki Tiket itu.
Namun, Lelaki Tiket menepis pemberianku,
Tak payah, Bro. Bro duduk situ diam-diam, simpan duit ini baik-baik. Pendatang macam dia ini memang patut diajar.
Perlahan kubisikkan pada telinganya,
Tuan, ambil duit ini. Selesai masalah. Tak payah bertumbuk-tumbuk.
Lelaki Tiket masih berdegil, tidak langsung mengendahkan kelibatku di situ. Dia meluru semula ke pintu bas, dan menjerit dari jauh,
Kau, Mat Bangla. Cepat turun! Kalau tidak, aku panggil polis.
Lelaki Pakistan terdiam. Dia memandangku penuh sayu. Perlahan kuhulurkan tanganku yang berisi 10 ringgit itu padanya.
Ambil ini, bayar pada dia.
Sepantas kilat lelaki Pakistan menyambar tanganku dan turun dari bas bersama Lelaki Tiket. Selang beberapa saat, mereka berdua naik semula dan meluru ke arahku. Lelaki Tiket berkata dengan nada tinggi,
Hari ini saya maafkan dia, Bro. Kalau 10 orang Malaysia macam bro, kayalah pendatang.
Dalam renung yang dalam jauh ke ceruk matanya, aku menikam dengan kata-kata,
Tuan bercakap sebagai orang Malaysia. Tapi, Tuan tidak bercakap sebagai orang Islam.
Suasana di perut bas masih sunyi dan mengikuti perkembangan kami penuh hati-hati. Biarpun ngauman enjin dan bunyi penghawa dingin tidak berhenti, Lelaki Tiket tetap berpeluh-peluh. Lelaki Tiket tidak menjawab apa-apa. Perlahan dia ke pintu keluar dan turun dari bas.
Lelaki Pakistan segera memelukku, tanpa pedulikan tubuhnya yang basah lecun dengan peluh. Airmatanya seakan-akan tidak malu bercucuran.
Terima kasih, brother. Terima kasih. Kita brother. Kita brother.
Kubalas pelukannya, seakan memujuk,
Ya… Ya… Kita brother.
Kemudian, bas bergerak, meninggalkan terminal bagi memulakan perjalanan. Lelaki Pakistan itu mohon duduk bersebelahan denganku. Dengan mesra, dia menunjukkan paspotnya sambil memperkenalkan namanya, Muhammad Waqqas. Dia menghulurkan beberapa keping wang Pakistan kepadaku. Kutolak pelawaannya, namun dia berkeras.
Ini, semuanya bernilai 10 ringgit. Ambillah. Saya bukan minta sedekah. Saya memang ada duit. Cuma belum tukar lagi.
Inilah rupa duit itu. 250 PKR (Pakistani Rupee) bernilai RM9.32. Gambar diambil di kedai sahabat, Ustaz Asyraff di Nilai.
Sepanjang perjalanan kami berbual, berkongsi cerita dan gelak ketawa. Sesekali kami berkongsi airmata, saat dia ceritakan pengalamannya dipukul majikan dan dibuli rakan sekerja dari negara lain. Sambil ditunjukkan lengan dan kakinya berparut calar balar, ceritanya amat menginsafkan aku sendiri. Ketabahannya yang menyudu hanya ratusan ringgit sebulan itu menjadi pembakar semangatku.
Bagai saudara lama yang terpisah, bagai sahabat yang rindu tidak ketemu, kemesraan kami mengingatkan aku pada diriku sendiri. Diriku sewaktu bergelar orang asing di Jepun dahulu. Aku percaya, hanya teman seakidah sahaja yang memahami, bagaimana saudaranya sangat saling memerlukan. Kenanganku bersama teman asing dari pelbagai negara benar-benar sebati dalam memori. Nostalgia sama-sama membangun tempat ibadat yang sering diburu polis kerana dituduh kegiatan teroris. Sesekali pintu dihentak Yakuza untuk meminta cukai, kerana disangka tanah itu masih milik mereka. Sedangkan jutawan Pakistan sudah membelinya dari ketua mereka untuk dibuat rumah menyembah Allah.
Kata-kata Allah ini selalu kutangkalkan jadi kekuatan diri,
Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujuraat, ayat 13)

No comments:

tanyalah, xkena marah:)

Powered By Blogger

meh menabung